Ikhlaskan Niat, Sucikan Hati...

Monday, June 21, 2010

Ermm.. hari ini rasanya nak bercerita tentang hati. Hati ini bukan mudah nak ditafsirkan kerana macam-macam anggapan jika kita berbicara tentang hati. Namun, biarlah permulaan tulisan yang sekian lama tidak tertulis ini menjadi simbolik perasmian kedua penulisan blog ini. Kerana merendahkan hati dalam menulis merupakan satu perkara yang perlu dilakukan oleh setiap blogger yang ada. Bacalah seadanya...


Melangkah dari gerbang kesesatan menuju gerbang kebahagiaan bukanlah satu perkara yang mudah. Setiap langkah yang ditelusuri sentiasa penuh dengan dugaan dan cabaran. Kedua-dua badai datang silih berganti dari dalam dan luar diri. Tanpa semangat dan keazaman yang tinggi dan cekal (mujahadah), pasti seseorang manusia tidak akan menjumpai jalan keluar dari kesesatan yang dilalui. Segalanya bermula dengan hati. Betullah kata-kata Nabi Muhammad S.A.W yang disanjung tinggi oleh umat Islam :“Ketahuilah bahawa dalam jasad itu ada seketul darah (daging), apabila ia bersih, maka akan bersihlah tubuh badan semuanya dan apabila ia rosak (keji) maka akan rosaklah seluruh tubuh itu, Ketahuilah itulah hati” (Muttafaqun `Alaih).


Sesungguhnya kesejahteraan, kedamaian dan kebaikan jiwa insan mukmin itu bergantung kepada tazkiyyah al-nafs. Nafsu pada hakikatnya adalah penggerak tingkah laku yang cenderung kepada sama ada kebaikan atau kejahatan. Allah mengilhamkan kepada jiwa insan itu dua ilham - ilham berbentuk fujur iaitu jalan yang membawa insan ke arah kesejahteraan dan ilham berbentuk takwa iaitu jalan yang membawa manusia ke arah kebaikan dan amal soleh.

Dua bentuk jalan ini terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa.

Sesungguhnya berjayalah orang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat “ jiwanya” (surah Asy-Syams:7-10).

Oleh yang demikian, hati merupakan elemen utama yang perlu dipelihara dan di jaga jika ingin bahagia. Bukan apa, bak kata-kata ustaz, mati manusia ada 3 macam. Mati ketika tidur, kematian manusia: terpisah roh dari jasad, dan mati hati. Ketiga-tiga macam ini, mati hati adalah perkara paling bahaya dan ditakuti. Hati yang mati akan menghilangkan pandangan baik dan buruk bagi seorang manusia.

Kerana hati, hubungan manusia boleh pincang,
kerana hati, hubungan manusia boleh bersama,
kerana hati, manusia boleh bahagia,
kerana hati juga, manusia boleh sengsara.

Untuk mencapai kebahagiaan, kedamaian dan ketenangan hati maka manusia perlulah mengikis penyakit hati yang bersarang di jiwanya.Qalbu (hati) terang bercahaya menjadi nur (pelita/cahaya) kepada manusia menempuh jalan baik dan haq. Al-Quran itu sendiri diturunkan menjadi huda lil muttaqin (petunjuk kepada hati yang bertakwa).

Bukan mudah untuk 'mencuci' hati andaikata ia sudah kotor. Seperti yang diperkatakan, ia memerlukan semangat dan keazaman yang tinggi. Namun, jalan merintis penyucian hati akan dipermudahkan Allah S.W.T jika kita betul-betul mahu berusaha. Hati mesti dibersihkan melalui jalan tarbiyyah rabbani ke dalam jiwa mukmin yang mampu dilakukan melalui amal ibadat yang dicontohkan oleh nabi dan sahabatnya serta para tabiin.

Al-Quran menegaskan, “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Tuhan semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan jangan engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran” (surat al-Kahfi:28).

Ingat, jaga hati kita sebaiknya agar kita tidak berada dalam kegelapan. Usahalah menghadiri majlis-majlis ilmu walau setengah jam masa yang perlu diambil, kerana ia akan menjadi penyuci hati daripada kotor dan keras.

* Tribute to Jehe....

0 comments:

  © Blogger templates Newspaper II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP